Ini selepas tercetusnya keganasan terbaru sempena lawatan presiden negara tersebut ke wilayah yang sedang bergolak itu.
Ketegangan yang berlaku selama beberapa hari di bandar Thandwe di
wilayah Rakhine bertukar menjadi satu episod pertumpahan darah pada
Selasa lalu, dengan sekumpulan perusuh dari kampung-kampun berdekatan
menyerbu ke tempat itu dan membakar rumah-rumah serta menyerang penduduk
Islam di sana.
Pergolakan itu berterusan pada Rabu lalu, walaupun ketika itu
Presiden Thein Sein sedang melakukan lawatannya ke sana dan tinggal
semalaman di Thandwe, sebagai sebahagian daripada lawatan pertamanya ke
wilayah Rakhine sejak gelombang keganasan agama tercetus di sana pada
tahun lalu.
Puluhan orang maut dan puluhan ribu lagi kehilangan rumah mereka dalam pergolakan tersebut.
Akhbar The New Light of Myanmar berkata 42 orang lelaki dan dua orang
wanita sedang disoal siasat setelah disyaki terbabit dalam pergolakan
antara 29 September lalu dengan 1 Oktober lalu itu.
"Difahamkan bahawa dengan berlakunya rusuhan di Perbandaran Thandwe
itu, sebanyak 114 rumah, tiga bangunan agama dan sebuah gudang gasolin
telah dibakar, menyebabkan 482 orang kehilangan kediamannya, lima orang
maut dan lima lagi cedera," kata laporan bahasa Inggeris akhbar itu.
Menurutnya, "kerja-kerja bantuan" sedang dijalankan di kawasan itu,
tetapi tidak mendedahkan butir lanjut mengenai keadaan mereka yang
kehilangan rumahnya.
Seorang pegawai polis memberiahu agensi berita AFP bahawa ada orang
keenam yang maut akibat serangan jantung semasa pertumpahan darah pada
Selasa lalu itu, yang berlaku dekat dengan Pantai Ngapali, sebuah
destinasi pelancongan yang popular di wilayah itu.
"Suasananya tenang ketika ini. Kami sedang mengawasi keadaan," katanya lagi.
Sekumpulan perusuh yang terdiri daripada kira-kira 800 orang terbabit
dalam peristiwa pertumpahan darah Selasa lalu, kata polis. Seorang
wanita berusia 94 tahun adalah antara mereka yang terbunuh.
Apa yang tercetus pada tahun lalu sebagai satu pertempuran kaum
antara puak Rakhine beragama Buddha dengan puak Islam Rohingya tidak
bernegara, kini seakan-akan merebak dengan golongan minoriti Islam lain
yang semakin menjadi sasarannya.
Sekitar 250 orang terbunuh dan lebih 140,000 kehilangan kediamannya
dalam beberapa pertempuran antara penganut agama Buddha dan Islam di
seluruh negara itu sejak Jun tahun lalu, kebanyakannya di wilayah
Rakhine.
SAMBUNG BACAAN